Monday, 17 October 2011
KOMPUTER DAN MASYARAKAT
Pada masa kini, komputer telah mempengaruhi cara hidup kita, cara bekerja, dan bermain. Komputer tersebar luas di seluruh dunia dan secara tidak langsung ia mempengaruhi aspek kehidupan manusia sama ada dari segi pemakanan, alat-alat keperluan harian bahkan di dalam kereta kita sendiri turut mempunyai sistem komputer.
Komputer pada umumnya digunakan untuk menganalisis, mendiagnosis, dan berkomunikasi sesama kita. Namun begitu, penggunaannya telah berkembang sehingga internet diperkenalkan. Internet ialah salah satu kemudahan aplikasi dalam komputer dan penggunaannya semakin berkembang sehingga ke hari ini. Sama ada kita sedar atau tidak, penggunaan internet juga turut mempengaruhi cara kita berkomunikasi dan mendapatkan maklumat. Dengan hanya menaip sahaja kita dapat memperoleh berbagai-bagai maklumat tidak kira dimanapun kita berada. Maklumat yang diperoleh pula boleh didapati dari pelbagai sumber sesuai dengan gelaran komputer yang dikenali sebagai 'dunia tanpa sempadan'.
Dalam era globalisasi ini, terdapat banyak pekerjaan yang memerlukan kita menggunakan komputer. Oleh itu, ramai yang sanggup menghabiskan masa berjam-jam lamanya dengan duduk menghadap komputer. Hal ini seterusnya boleh menyebabkan tekanan kepada individu. Bukan itu sahaja, menurut kajian seseorang yang menggunakan komputer dalam jangka masa yang penjang boleh membawa kepada gangguan atau masalah kesihatan. Sebagai contoh, ia boleh merosakkan mata dan mengakibatkan mata menjadi rabun kerana cahaya dari monitor yang terang. Cara duduk yang tidak betul juga boleh menyebabkan pengguna komputer akan merasa sakit belakang walaupun pada usia yang muda.
Namun begitu, tanpa kita sedari, di negara kita Malaysia. Penggunaan komputer dan laman sosial khususnya laman facebook yang bebas dan berleluasa telah menjadi satu tabiat para remaja di Malaysia khususnya pelajar-pelajar. Penggunaan bahasa yang tidak beretika oleh para remaja telah menyebabkan penggunaan bahasa kebangsaan kita iaitu bahasa Melayu terjejas. Hal ini mendatangkan masalah kepada masyarakat dan negara kerana usaha kerajaan dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan terjejas. Pelajar khususnya perlu mahir dalam menggunakan komputer kerana peranan mereka sebagai golongan yang berpendidikan. Pelajar tidak sepatutnya terpengaruh dengan bahasa 'sms' terutama semasa melakukan tugasan bersama pelajar dan pensyarah. Etika dan penggunaan bahasa yang baik sangat penting bagi menunjukkan rasa hormat kepada pensyarah khususnya.
Kesimpulannya, isu komputer dan masyarakat perlu kita ambil perhatian kerana ia melibatkan kehidupan masyarakat dan masa depan negara. Memang tidak dinafikan komputer merupakan satu keperluan pada masa kini. Tetapi sebagai individu yang positif dan progresif, jasmani dan rohani kita perlu sentiasa dipelihara agar tidak meruntuhkan nilai-niai murni dan akhlak kita sebagai manusia terutama pelajar. Hal ini seterusnya akan membantu kita dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.
Sekian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment